only thinker

there is a lot to learn

Kamis, 12 Mei 2011

warisan hawa

Di dalam Bible, imej Hawa sebagai penggoda telah memberikan kesan yang amat negatif terhadap wanita sepanjang tradisi Judaeo-Kristian. Semua wanita dipercayai telah mewarisi kesalahan dan tipu muslihat ibu mereka, iaitu Hawa. Oleh itu, mereka semuanya tidak boleh dipercayai, lebih rendah akhlaknya dan jahat. Haid, kehamilan dan melahirkan anak dianggap sebagai hukuman yang adil terhadap kesalahan abadi wanita yang merupakan kaum yang telah disumpah. Untuk memahami betapa negatifnya kesan perbuatan Hawa, menurut Bible, ke atas keturunan perempuannya, kita perlu lihat beberapa tulisan-tulisan terpenting Yahudi dan Kristian. Mari kita mulakan dengan Perjanjian Lama dan lihat petikan daripada Wisdom Literature di mana kita dapati:


    "Dan aku menemukan sesuatu yang lebih pahit daripada maut: perempuan yang adalah jala, yang hatinya adalah jerat dan tangannya adalah belenggu. Orang yang dikenan Allah terhindar daripadanya, tetapi orang yang berdosa ditangkapnya. Lihatlah, ini yang kudapati, kata Pengkhutbah: Sementara menyatukan yang satu dengan yang lain untuk mendapat kesimpulan, yang masih kucari tetapi tidak kudapati, kudapati seorang lelaki yang lurus di antara seribu, tetapi tidak kudapati seorang perempuan yang lurus di antara mereka." [Pengkhutbah 7:26-28]

    Di bahagian lain pustaka Ibrani yang didapati dalam Bible Katolik, kita dapati:

    "Tiada kejahatan yang serupa dengan kejahatan wanita... Dosa bermula dengan wanita dan kerananya kita semua harus mati" [Pengkhutbah 25: 19,24]

    Rabai Yahudi menyenaraikan sembilan sumpahan yang dikenakan ke atas wanita disebabkan kesalahan tersebut:

    "Kepada wanita diberikanNya sembilan sumpahan dan kematian: beban darah haid dan darah perawan; beban kehamilan; beban melahirkan anak; beban membesarkan anak-anak; kepalanya dilitupi seperti dalam perkabungan; dia menindik telinganya seperti seorang hamba yang abdi atau seperti hamba perempuan yang berkhidmat untuk tuannya; dia tidak dipercayai sebagai saksi; dan setelah semua ini - kematian" [2]

    Sehingga ke hari ini, lelaki Yahudi ortodoks berdoa setiap pagi, "Dirahmati Tuhan, Raja semesta Alam, kerana Dia tidak menjadikan aku perempuan". Sebaliknya, wanita bersyukur kepada Tuhan setiap pagi kerana "menjadikan aku menurut kehendakMu" [3]. Satu lagi doa yang dijumpai dalam banyak buku-buku doa Yahudi adalah: "Segala puji bagi Tuhan kerana tidak menjadikan aku bukan Yahudi. Segala puji bagi Tuhan kerana tidak menjadikan aku seorang perempuan. Segala puji bagi Tuhan kerana tidak menjadikan aku seorang yang jahil" [4].

    Hawa di dalam Bible memainkan peranan yang lebih besar di dalam Kristian daripada di dalam Judaisma. Dosanya adalah tiang kepada keseluruhan kepercayaan Kristian kerana konsep Kristian mengenai misi Jesus Kristus di Bumi bertunjangkan keengkaran Hawa kepada Tuhan. Beliau telah berdosa dan kemudian menggoda Adam untuk menurutinya. Oleh itu, Tuhan mengusir mereka berdua dari Syurga ke Bumi yang mana ini adalah sumpahan ke atas mereka.

    Mereka mewariskan dosa mereka yang tidak diampunkan oleh Tuhan kepada semua keturunan mereka dan dengan itu, semua manusia dilahirkan dalam keadaan berdosa. Utnuk membersihkan manusia daripada 'dosa asal', Tuhan terpaksa mengorbankan Jesus yang dipercayai adalah Anak Tuhan di batang salib. Oleh yang demikian, Hawa bertanggungjawab ke atas kesalahannya, dosa suaminya, dosa asal semua manusia, dan kematian Anak Tuhan.

    Dengan kata lain, tindakan seorang wanita telah menjahanamkan seluruh manusia [5]. Bagaimana dengan anak-anak perempuannya? Mereka adalah orang-orang yang berdosa sepertinya dan mesti dilayan sedemikian. Dengarlah nada keras St. Paul di dalam Perjanjian Baru:

    "Seharusnyalah perempuan berdiam diri dan menerima ajaran dengan patuh. Aku tidak mengizinkan perempuan mengajar dan juga tidak mengizinkannya memerintah lelaki; hendaklah ia berdiam diri. Kerana Adam yang pertama dijadikan, kemudian barulah Hawa. Lagi pula bukan Adam yang tergoda, melainkan perempuan itulah yang tergoda dan jatuh ke dalam dosa." [1 Timothy 2:11-14]

    St. Tertullian lebih lantang daripada St. Paul. Semasa St. Tertulian bercakap dengan "saudara-saudara perempuan seagama yang dikasihinya", beliau berkata [6]:

    "Tidakkah kamu tahu bahawa setiap daripada kamu adalah Hawa? Hukuman Tuhan ke atas jantina kamu berterusan sehingga ke hari ini: kesalahan tersebut harus berterusan. Kamu adalah pintu masuk syaitan. Kamu adalah pembuka pohon terlarang. Kamu adalah yang pertama melanggar undang-undang tuhan. Kamulah yang memujuknya yang tidak dapat diserang oleh syaitan. Kamu dengan mudah telah memusnahkan rupa Tuhan, iaitu lelaki. Disebabkan kamu, Anak Tuhan terpaksa mati."

    St. Augustin yang patuh kepada warisan mereka sebelumnya menulis kepada seorang rakannya:

    "Apa bezanya jika dia adalah seorang isteri atau seorang ibu, dia masih Hawa, penggoda yang mesti kita berjaga-jaga terhadapnya... Saya tidak dapat melihat apa gunanya wanita untuk lelaki jika kita tidak mempertimbangkan tugasnya untuk melahirkan anak"

    Beberapa abad kemudian, St. Thomas Aquinas masih menganggap wanita sebagai tidak sempurna:

    "Merujuk kepada sifat individu, wanita tidak sempurna, kerana kuasa aktif di dalam benih lelaki berkecenderungan untuk menghasilkan apa yang mirip kepada jantina lelaki yang sempurna; manakala wanita dihasilkan daripada kecacatan dalam kuasa aktif atau daripada bahan yang kurang sihat, atau daripada pengaruh luar."

    Akhir sekali, reformis terkenal, iaitu Martin Luther, tidak nampak apa faedahnya wanita melainkan untuk melahirkan seramai mungkin anak tanpa mengira apa kesannya.

    "Jika mereka lesu atau mati sekali pun, itu tidak mengapa. Biarlah mereka mati melahirkan anak, itulah tugas mereka."

    Berkali-kali wanita direndahkan kerana imej Hawa sebagai penggoda disebabkan kisah di dalam Kejadian. Kesimpulannya, konsep Judaeo-Kristian mengenai wanita telah diracuni oleh kepercayaan mengenai sifat Hawa dan perempuan-perempuan dari keturunannya yang berdosa.

    Jika kini kita mengalihkan pandangan kita kepada apa yang dikatakan oleh Qur'an mengenai wanita, kita akan dapati bahawa konsep Islam mengenai wanita adalah amat berbeza daripada Judaeo-Kristian. Biarkan Qur'an bersuara sendiri:

    “Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang muslim, lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyu', lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar” [Al-Qur'an, Al-Ahzab (33):35]

    “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah daripada yang munkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberikan rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” [Al-Quran, Al-Taubah (9):71]

    “Maka Tuhan mereka memperkenankan permohonannya (dengan berfirman): "Sesungguhnya Aku tidak mensia-siakan amal orang-orang yang beramal di antara kamu, baik lelaki atau perempuan (kerana) sebahagian kamu adalah keturunan sebahagian yang lain.” [Al-Qur'an, Ali-'Imran (3):195]

    “Barang siapa mengerjakan perbuatan jahat, maka dia tidak akan dibalas melainkan sebanding dengan kejahatan itu. Dan barang siapa mengerjakan amal yang saleh baik lelaki mahu pun perempuan, maka mereka akan masuk syurga, mereka diberi rezeki di dalamnya tanpa hisab.” [Al-Quran, Al-Mukmin (40):40]

    “Barang siapa yang mengerjakan amal saleh, baik lelaki mahu pun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik, dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.” [Al-Quran, Al-Nahil (16):97]

    Jelas pandangan Qur'an terhadap wanita tidak berbeza daripada pandangannya terhadap lelaki. Kedua-dua mereka adalah makhluk ciptaan Tuhan yang matlamat hidup mereka di bumi ini adalah untuk menyembah Tuhan mereka, melakukan amalan-amalan yang baik, mengelakkan amalan-amalan yang buruk, dan kedua-dua mereka akan diberikan ganjaran yang sewajarnya. Qur'an tidak pernah menyebut bahawa wanita adalah pintu syaitan atau bahawa sifat semulajadinya adalah sebagai penggoda. Qur'an juga tidak pernah menyebut bahawa lelaki adalah imej Tuhan; semua lelaki dan semua wanita adalah ciptaanNya - itu sahaja. Menurut Qur'an, peranan wanita tidak terhad kepada melahirkan anak sahaja. Mereka dikehendaki melakukan sebanyak mungkin amalan-amalan baik seperti mana lelaki dikehendaki berbuat demikian. Qur'an tidak pernah berkata bahawa wanita yang benar tidak wujud. Sebaliknya, Qur'an mengarahkan semua orang-orang yang beriman, wanita dan lelaki, untuk mengikuti contoh wanita yang ideal iaitu Maryam dan isteri Firaun:

    “Dan Allah membuat isteri Firaun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika dia berkata: 'Ya Tuhanku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam syurga dan selamatkanlah aku dari Firaun dan perbuatannya, dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim', dan (ingatlah) Maryam puteri Imran yang memelihara kehormatannya, maka Kami tiupkan ke dalam rahimnya sebahagian daripada roh (ciptaan) Kami dan dia membenarkan kalimat Tuhannya dan Kitab-kitabNya; dan adalah dia termasuk orang-orang yang taat.” [Al-Qur'an, At-Tahrim (66):11-12]

_____________________________________

Nota Kaki:

[2] Leonard J. Swidler, Women in Judaism: The Status of Women in Formative Judaism, (Metuchen, N.J.: Scarecrow Press, 1976), m.s. 96-97.

[3] Thena Kendath, 'Memories of an Orthodox Youth' in Susannah Heschel, ed. On being a Jewish Feminist (New York: Schocken Books, 1983), m.s. 96-97.

[4] Swidler, op. cit., m.s. 80-81.

[5] Rosemary R. Ruether, 'Christianity', dalam Arvind Sharma, ed., "Women in World Religions" (Albany: State University of New York Press, 1987) m.s. 209.

[6] Untuk merujuk kata-kata orang-orang kudus yang utama, rujuk Karen Armstrong, "The Gospel According to Woman" (London: Elm Tree Books, 1986) m.s. 52-62. Juga lihat Nancy van Vuuren, "The Subversion of Women as Practiced by Churches, Witch-Hunters, and Other Sexists" (Philadelphia: Westminister Press) m.s. 28-30.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

bagimana pendapat anda??